SEREMBAN – Usaha kerajaan meneruskan dan menambah baik Bantuan Sara Hidup (BSH) dalam pembentangan Belanjawan 2019 hari ini membuktikan kepekaan kerajaan terhadap kebajikan rakyat walaupun dalam keadaan negara berdepan dengan hutang yang besar.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon berkata BSH kali ini juga menunjukkan kerajaan benar-benar memberi tumpuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Bantuan untuk mereka yang berpendapatan RM2,000 ke bawah dapat RM1,000, kerana kerajaan tahu golongan ini merupakan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan daripada kerajaan, kerana itu bantuan kali ini diberikan mengikut pendapatan yang diperoleh isi rumah, lagi sikit pendapatan lagi banyak mereka dapat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 yang bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ di Dewan Rakyat hari ini berkata, isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000; isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 akan menerima bantuan berjumlah RM750 dan isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500.
Kerajaan menurut Lim turut memperkenalkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada 4 orang, kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka.
Tambah Tan, tambahan BSH yang diperkenalkan kerajaan untuk setiap anak sebanyak RM120 terhad kepada empat orang anak ini juga amat bermakna untuk ibu bapa terutamanya dalam membuat persiapan perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka.
“RM 120 ini sekurang-kurangnya boleh digunakan untuk membeli barangan persekolahan atau baju sekolah tambahan dan mereka tidak lagi perlu berharap pada duit sendiri untuk beli baju tambahan anak-anak,” katanya. – BERNAMA
