JOHOR BAHRU – Seramai 425 individu ditahan menerusi 1,558 serbuan Ops Dadu yang dijalankan ke atas premis-premis judi tanpa lesen di Kulai sejak Januari tahun ini hingga 15 Nov lepas.
Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata daripada jumlah itu, seramai 187 orang terbabit dengan kegiatan mesin perjudian, 157 orang (loteri awam tanpa lesen), 54 (judi dalam bangunan), 23 (judi di tempat bebas) dan empat orang lagi terbabit aktiviti catit taruh haram.
Selain itu operasi berhasil merampas wang tunai sebanyak RM72,993 dan 1,203 peralatan judi.
“Pada 1 hingga 15 Nov sahaja, sebanyak 47 serbuan dilakukan terhadap tempat loteri awam haram dan berhasil menahan lapan individu dan merampas 36 peralatan judi serta wang tunai RM420,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) dan Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1967 dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.
Dalam pada itu, beliau memberitahu 55 individu termasuk 31 warga asing telah ditahan sepanjang tempoh itu menerusi 39 serbuan Ops Noda yang diadakan di daerah itu.
Katanya, operasi yang mensasarkan pusat hiburan, rumah urut, hotel dan beberapa tempat bebas sekitar Kulai turut merampas wang tunai sebanyak RM9,187 dipercayai hasil kegiatan tidak bermoral.
Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Negeri Johor 4/1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali, katanya. – BERNAMA