BEKAS Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menunjukkan pendirian yang berbeza dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung projek kereta nasional ketiga.
Zeti berkata negara hanya boleh melibatkan diri dalam industri yang ia memiliki kelebihan berbanding negara lain, menunjukkan sikap kurang bersetuju dengan semangat Mahathir untuk memulakan projek kereta nasional ketiga.
Katanya seperti dilapor media, kerajaan perlu bertanya adakah kita mempunyai kelebihan kerana sumber-sumber yang dimiliki terhad.
Katanya, lebih baik sumber dimiliki disalurkan ke bidang yang Malaysia mempunyai kelebihan supaya dalam menjadi peneraju dalam bidang tersebut, kata Zeti dalam perbincangan bertajuk “The Economic Agenda – Mahathir-nomics 2.0 and Vision 2020 Revisited” di Forum Ekonomi Belia 2018 semalam.
Zeti bagaimanapun turut memberi alasan hutang dan masalah negara dalam menjelaskan masalah dihadapi kerajaan baharu.
Zeti juga memberi gambaran projek kereta nasional ketiga berisiko dan kemungkinan akan memerlukan bail-out dari kerajaan sekiranya berdepan masalah.
Menurutnya, kerajaan mesti menilai faktor risiko yang ada kerana negara tidak mempunyai sumber yang cukup untuk menyelamatkan projek yang gagal.
“Kerana inilah (projek ini) mesti dinilai dengan cermat,” kata Zeti yang kini pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad.
Projek kereta nasional ketiga dicadangkan oleh Mahathir sejurus selepas menjawat jawatan perdana menteri kali kedua pada Mei lalu.
Sebelum ini, sebagai perdana menteri keempat, beliau menggerakkan projek kereta nasional Proton, yang berdepan banyak masalah sejak penubuhan dan hanya berjaya dipulihkan beberapa tahun kebelakangan ini dan akhirnya dijual kepada Geely.
Dari segi pasaran di Malaysia, Proton ketinggalan dengan Perodua, projek kereta nasional kedua yang produknya lebih memenuhi kehendak pasaran negara.
Proton dikaitkan sebagai punca cukai import kenderaan yang tinggi sebagai langkah melindunginya daripada kereta asing. – Mynewshub.tv