Biarpun mempamerkan aksi memukau dalam saingan Liga Premier 2018, menyaksikan Felcra FC berjaya ‘dinaikkan pangkat’ beraksi dalam Liga Super musim depan, ia tidak cukup meyakinkan pengurusan tertinggi syarikat berkenaan yang mengumumkan pembubaran pasukan berkenaan.
“Felcra FC akan dibubarkan kerana memerlukan kos sebanyak RM8 juta semusim dan tidak memberi keuntungan.
“Beberapa anak syarikat juga akan ditutup dan digabungkan dalam usaha melakukan perubahan struktur dalam Felcra,” kata Pengerusi Felcra, Datuk Mohd. Nageeb Abdul Wahab pada sidang media pertama beliau selepas dilantik memegang jawatan itu dalam syarikat berkaitan kerajaan tersebut, di Wisma Felcra di ibu negara semalam.
Terdahulu pada sidang media berkenaan, Mohd. Nageeb mengumumkan pelantikan Mohd. Nazrul Izam Mansor sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad yang baharu.
Mengulas lanjut mengenai pembubaran pasukan bola sepak itu, Mohd. Nageeb berkata, ia langkah terbaik Felcra selepas menilai situasi ekonomi semasa, sambil menambah pembubaran Felcra FC adalah bagi memastikan aliran tunai syarikat itu dalam keadaan stabil.
Beliau berkata, Felcra menilai setiap sudut sebagai langkah penjimatan, malah mereka kini perlu berdikari dalam hal kewangan selepas kerajaan tidak lagi menyalurkan dana kepada syarikat berkenaan.
Kelab Bolasepak Felcra yang berusia enam tahun, memulakan aksi kompetitif mereka dalam Liga FAM.
Pasukan yang pernah melahirkan penyerang sensasi, N. Thanabalan itu berjaya menempatkan diri dalam saingan Liga Premier 2018, selepas menjuarai Liga FAM musim lepas. – BERNAMA