TAIPING – Tahanan reman kes dadah yang melarikan diri dari lokap Balai Polis Taiping Sabtu lepas, diberkas semula ketika menunggang sebuah motosikal di tepi Jalan Medan Kamunting 2, Medan Kamunting, Kamunting, awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Taib berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah semasa menjalankan Op Kesan pada 4.45 pagi ini.
Katanya pasukan itu mendapati seorang lelaki sedang menunggang motosikal jenis Honda Ex-5 dalam keadaan mencurigakan dan bertindak agresif serta cuba melarikan diri ketika didekati anggota polis.
“Namun suspek berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian Sabtu malam lepas, tahanan reman itu melarikan diri pada pukul 7.33 malam setelah anggota polis membuka pintu utama lokap bagi membolehkan pembekal makanan memasuki kawasan itu untuk membekalkan makanan.
Tahanan itu melarikan diri ke arah parkir bengkel kenderaan Ibu Pejabat Polis Daerah dan memanjat pagar balai lalu melarikan diri. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..