SHAH ALAM – Program Singgah Mesra anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Bhd yang menyasarkan pemupukan semangat patriotik kini memasuki siri ketiga.
Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19 merupakan antara sekolah yang terpilih untuk program kali itu berdasarkan jumlah pelajarnya yang paling ramai di daerah Petaling.
Selain kakitangan Perangsang Selangor, seramai 300 orang pelajar turut terlibat menjayakan aktiviti sempena sambutan bulan kemerdekaan di sekolah tersebut, di sini, baru-baru ini.
Pengarah Bersekutu Perhubungan Awam, Media dan CSR, Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata selain memupuk semangat patriotik di kalangan pelajar sekolah, program turut menyasarkan peserta mendekati masyarakat dan membantu mereka yang kurang berkemampuan.
“Kita lakukan beberapa aktiviti sempena bulan kemerdekaan dan sambutan hari Malaysia, antaranya termasuklah nyanyian lagu patriotik, deklamasi sajak serta pertandingan menghias bilik darjah bertemakan kemerdekaan.
“Di samping itu, kita turut menyalurkan sumbangan kepada 40 pelajar yang kurang berkemampuan selain sumbangan kepada pihak sekolah sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Fauzi berkata penganjuran program seumpama itu diharap mampu membentuk jati diri dan karakter positif dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.
“Kita mahu bakal pemimpin masa depan ini mempunyai kebolehan untuk berfikir secara kreatif dan terbuka. Kita tidak mahu pemikiran mereka dijajah oleh anasir-anasir luar yang negatif.
“Selain itu, kita juga mahu menanamkan elemen-elemen pengorbanan, perjuangan dan mendaulatkan bangsa dan negara kepada mereka agar mereka mempunyai asas dan semangat patriotik yang kukuh di masa depan,” katanya. – BERNAMA