KUALA LUMPUR – Perintah 85 Perintah Tetap dan Seksyen 9 Akta Hak dan Keistimewaan Parlimen perlu dipinda bagi membolehkan pendengaran sesi prosiding yang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dibuka kepada awam.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, beliau bersetuju dengan cadangan Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh bagi membuka prosiding bagi kes-kes terpilih kepada orang ramai.
“Akta tersebut mengandungi peruntukan yang antaranya mengehadkan sesi pendengaran awam sehingga laporan siasatan dibentangkan dan kemudian bukti dikemukakan dihadapan jawatankuasa. Ia masih perkara rahsia.
“Jadi, kita perlu melakukan pindaan terlebih dahulu. Jika sesi prosiding itu dibuka kepada awam, orang ramai mungkin berminat mendengar malah turut menyumbang,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Buku Undang-Undang (Janab Law Series) oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer di bangunan Parlimen, hari ini.
Semalam, Kah Woh berkata, PAC dalam usaha untuk membuka prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada orang ramai yang dijangka bermula Isnin ini, selagi ia tidak menyentuh isu keselamatan.
Walau bagaimanapun, beliau berkata terdapat halangan undang-undang seperti Perintah 85 Perintah Tetap dan Seksyen 9 Akta Hak dan Keistimewaan Parlimen yang kini menghalang daripada membuka prosiding PAC kepada orang ramai. – UTUSAN ONLINE