KUALA LUMPUR – Aisyah, 31, bukan nama sebenar, tidak menyangka percutian bersama suami ke Istanbul, Turki pada Mac, 2016 menjadi satu mimpi buruk dalam hidup keluarganya.
Beliau yang sedang sarat mengandung tujuh bulan ketika itu langsung tidak mengesyaki niat suaminya mahu berjuang bersama Daesh di Syria.
Katanya sebaik tiba di Istanbul, mereka tinggal di sebuah hotel selama lima hari, sebelum berpindah ke sebuah rumah sewa.
“Apabila sampai di rumah sewa, baru saya sedar suami saya mahu ke Syria untuk berjuang di sana bersama Daesh,” katanya dalam satu sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.
Menurutnya hampir setahun dia dan suami serta seorang anak sulung perempuan berusia tiga tahun berada di Istanbul sementara menanti kelahiran anak keduanya, seorang lelaki.
Ketika di Istanbul, Aisyah berkata selain menggunakan wang simpanan sendiri, dia dan suami bergantung hidup dengan bantuan badan kebajikan seperti Baitulmal untuk membeli makanan dan susu untuk anak-anak.
“Saya jarang-jarang keluar rumah dan kalau keluarpun hanya untuk membeli makanan keperluan di kedai berdekatan,” katanya.
Aisyah yang berkahwin pada Mac 2012 dengan suaminya, seorang bekas juruteknik sebuah syarikat cari gali berkata, sekitar Mac 2017 suaminya mengajaknya ke Syria.
“Kami masuk sempadan Syria menggunakan dua orang ejen yang membawa kami melalui kawasan bergunung-ganang dan separuh jalan kami ditinggalkan di tengah-tengah hutan. Di Syria kami tinggal di sebuah pekan kecil bernama Idlib dan ia sebuah kawasan bukan di bawah kawalan Daesh,” katanya.
“Di sinilah saya nampak suami saya bawa senjata api namun tidak pernah dan berani menghalang niat dia untuk berjuang bersama Daesh. Suami saya kata dia mahu berjuang kerana mahu mati syahid dan lama menanam impian itu sejak meninggalkan Malaysia,” tambahnya.
Aisyah berkata suaminya juga pernah berpesan kepadanya jangan sekali-kali kembali ke Malaysia walau apapun yang terjadi kepada dirinya.
Beliau yang sebak seketika apabila ditanya bagaimana beliau berhadapan dengan berita kematian suaminya pada 9 Feb lepas berkata, selepas kematian suaminya beliau jadi takut untuk tinggal di Syria dan bimbang dengan keselamatan anak-anaknya sehingga terpaksa berpindah dari satu rumah ke satu rumah.
“Saya ketakutan ketika di Idlib dan saya hubungi keluarga saya untuk bawa saya keluar dari situ,” katanya dan menambah, beliau amat bersyukur apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kedutaan Malaysia dan pihak National Intelligent Organisation (MIT) dari Turki berjaya membawanya keluar dari Syria sebelum pulang ke Malaysia pada 6 Okt lalu.
Aisyah yang berasal dari Terengganu berkata dia mahu balik ke kampungnya demi anak-anak serta keluarga dan menjalani kehidupan seperti biasa.
Beliau dan dua anaknya kini masih lagi di bawah perlindungan PDRM untuk proses pemulihan dan kaunseling sebelum dibenarkan untuk kembali ke kampung halaman.
Seramai 102 rakyat Malaysia dilaporkan pernah berada di Syria untuk berjuang bersama Daesh dan 37 daripadanya terkorban manakala lapan orang kembali ke Malaysia pada 2015. – BERNAMA