KUALA LUMPUR — Juara bertahan, Perak yakin mampu mempertahankan kejuaraan Hoki Piala Tun Abdul Razak yang bermula di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil walaupun kehilangan khidmat beberapa pemain kebangsaan yang sedang beraksi pada Kejohanan Trofi Juara-Juara di Oman.
Kapten Perak, Shazril Irwan Nazli berkata pasukannya kelebihan untuk mempertahankan kejuaraan kejohanan berkenaan dengan kehadiran beberapa lain bekas pemain kebangsaan seperti Azlan Misron, Izad Hakimi Jamaluddin, Hafifi Hafiz Hanafi serta bekas penjaga gol kebangsaan, Roslan Jamaluddin.
“Dengan gabungan pemain senior serta pemain bawah 21 tahun yang mempunyai kualiti terbaik, kami mempunyai keyakinan bahawa kami mampu untuk mempertahankan kejuaraan untuk edisi kali ini,” kata Shazril pada sidang media kejohanan di sini, hari ini.
Berkongsi pandangan sama adalah kapten pasukan Selangor, Nurul Safiqah Mat Isa yang berkeyakinan pasukannya mampu mempertahankan kejuaraan kategori wanita yang dimenangi tahun lepas menerusi adunan pemain muda dan berpengalaman.
“Pada saya kombinasi pemain junior dan senior adalah satu kombinasi yang baik kerana kami dapat menggunakan tenaga pemain baru serta berpengalaman dan pengalaman yang dimiliki oleh pemain senior boleh dikongsikan kepada pemain junior untuk kami membentuk satu pasukan yang kuat.
“Jika kami beraksi sebagai satu pasukan dengan memahami taktikal yang jurulatih serapkan dan melakukan tugas masing-masing dengan baik di dalam padang serta mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan, InsyaAllah kami boleh mendapatkan kemenangan,” jelas Nurul Safiqah.
Sebanyak 12 pasukan dalam kategori lelaki dan sembilan pasukan mengesahkan penyertaan pada kali ini yang bermula esok sehingga 3 November ini.
Enam pasukan iaitu Perak, Terengganu, Melaka, Kuala Lumpur, Penang dan Johor akan bersaing dalam divisyen satu manakala Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pahang, Singapura, Kelantan dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) akan bsraksi dalam divisyen dua kategori lelaki.
Saingan kategori wanita kumpulan A menyaksikan persaingan enam pasukan iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, PDRM dan Singapura manakala Pahang, ATM, Terangganu dan Pulau Pinang diundi dalam kumpulan B. — BERNAMA