KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bercadang memohon sejumlah peruntukan hasil cukai pelancongan yang dikutip kementerian untuk digunakan sebagai tambahan bagi membiayai program pelancongan, seni dan warisan negara.
Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata terdapat kewajaran jika sedikit jumlah cukai yang diurus Kementerian Kewangan itu diberi kepada kementeriannya.
“Kita tukang pungut. Kastam dan Kementerian Kewangan yang simpan duit itu. Memang kita punya niat (mohon)… kita minta bagilah sikit duit yang kita pungut. Kita belum mengemukakan permohonan untuk peruntukan itu, ” katanya kepada pemberita selepas majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan 2018 di sini hari ini.
Mohamaddin berkata cukai pelancongan tidak akan dimansuh kerana ia adalah sumber kewangan negara.
Katanya cukai yang dikenakan pada kadar RM10 bagi setiap bilik untuk satu malam itu munasabah dan tidak membebankan serta hanya dikenakan kepada pelancong luar.
Malaysia mula melaksanakan cukai pelancongan pada 1 Sept 2017 yang mengenakan kadar rata RM10 satu malam ke atas pelancong asing yang tinggal di hotel atau tempat penginapan berdaftar.
Terdahulu, Mohamaddin mengisytiharkan 255 butiran warisan merangkumi 24 tapak warisan, 225 objek warisan termasuk lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee serta enam tokoh hidup sebagai Warisan Kebangsaan 2018. – BERNAMA

