KUANTAN – Sebuah lori dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur yang membawa muatan daging babi terbabas di atas Jambatan Temerloh di kilometer 128.9 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), menyebabkan muatannya bertaburan di atas lebuh raya dalam kejadian 11.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Zundin Mohmod berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila tayar belakang lori tersebut pecah sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang sebelah kiri jalan.
“Ekoran itu, sebahagian besar muatan daging babi yang dibawa lori berkenaan bertaburan di atas jalan.
“Bagaimanapun pemandu lori itu yang berusia, 64 tahun hanya mengalami kecederaan kaki kiri serta kepala dan telah dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, ANIH Berhad dalam satu kenyataan menyatakan bahawa kemalangan itu menyebabkan pihaknya menutup satu lorong di jambatan berkenaan.
“Bagaimanapun lorong itu dibuka seperti biasa selepas kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan pada pada 1.45 petang tadi,” kata kenyataan tersebut. – BERNAMA