BRUSSELS – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata lawatan rasmi beliau ke Brussels untuk menghadiri sidang kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) telah membuahkan hasil dalam mempertingkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU).
Dr Wan Azizah tiba di sini pada Rabu dengan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak ke-12 ASEM pada 18 dan 19 Oktober.
Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Eropah sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei susulan kejayaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-14 pada Mei lepas.
Bercakap kepada media sebelum pulang ke Malaysia di akhir lawatannya itu, Dr Wan Azizah berkata beliau mengadakan pertemuan yang berhasil dengan tiga ketua kerajaan dan seorang timbalan perdana menteri daripada EU di samping mengetengahkan serta menjadi pencelah dalam beberapa isu penting pada sidang kemuncak berkenaan.
Dr Wan Azizah mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte; Perdana Menteri Ireland Leo Varadkar; Perdana Menteri Norway Erna Solberg dan rakan sejawatan beliau dari Belgium, Jan Jambon.
“Saya membangkitkan isu minyak sawit bersama keempat-empat pemimpin itu dan mengulangi hakikat bahawa Malaysia masih mengekalkan 55 peratus daripada keluasan hutannya.
“Minyak sawit kita menepati standard antarabangsa dan menjadi kewajipan bagi semua peserta industri minyak sawit Malaysia untuk mendapat pengesahan lestari menerusi skim pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO),” katanya kepada Bernama dan RTM di akhir sidang kemuncak itu pada Jumaat.
“Dengan Belgium, saya juga bercakap tentang kerjasama dalam menentang keganasan dan kesepakatan dalam memerangi jenayah siber. Jambon berkata perlu ada kesamarataan bagi negara yang menghasilkan minyak boleh dimakan dan tidak harus wujud sebarang diskriminasi dalam hal itu.
“Norway pula menyuarakan minat untuk bekerjasama ke arah mempertingkatkan hubungan perniagaan dengan kedua-dua negara dan kami mahu agenda yang lebih tersusun di peringkat antarabangsa untuk mewujudkan hubungan berkaitan kelestarian penggunaan laut,” katanya.
Dr Wan Azizah berkata dengan Ireland, perbincangan berkisar tentang bagaimana Malaysia boleh menjadi pintu masuk bagi negara anggota ASEAN yang lain.
“Varadkar menyuarakan rancangan masa depan untuk memperluaskan jejak global negara itu, termasuk menempatkan lebih banyak agensi dari Ireland di Malaysia,” katanya, dan menambah, Malaysia menyokong usaha Ireland dan Norway untuk membida kerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Ketika Malaysia tetap bertegas dalam mencari keadilan bagi mangsa pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang ditembak jatuh pada 2014, Dr Wan Azizah berkata beliau ada menyentuh tentang perkara itu bersama Rutte.
Pasukan Siasatan Bersama (JIT) diketuai Belanda masih menyiasat tragedi itu. MH17 sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika pesawat itu ditembak jatuh.
“Mengenai MH17, Malaysia dan Belanda mahu siasatan diselesaikan secepat mungkin demi keluarga serta orang tersayang yang terlibat dalam tragedi itu dan kami mahu siasatan ditamatkan dengan pantas. Kami bersetuju untuk bekerjasama dalam perkara ini,” kata Dr Wan Azizah.
Beliau berkata, Belanda dan Malaysia sepakat bahawa amat penting untuk mengekalkan hubungan disebabkan isu ini dan mahu diadakan lebih banyak kerjasama serta perkongsian risikan.
Sidang kemuncak ASEM selama dua hari menghimpunkan ketua negara/kerajaan dari 51 negara Asia dan Eropah, wakil EU dan setiausaha agung ASEAN.
“Kepada semua ketua kerajaan, saya menyatakan bahawa saya melihat Malaysia sebagai sebuah negara Muslim demokrat, dengan majoriti penduduk beragama Islam menukar kerajaan melalui cara yang begitu aman dan stabil, di samping turut mengambil kira hak kaum lain,” katanya.
Menerusi pernyataan negara pada sesi pleno kedua sidang kemuncak ASEM atas topik ‘Memperkukuh Sistem Pelbagai Hala: Meningkatkan Kerjasama ASEM Untuk Cabaran Global’, Dr Wan Azizah menyanjung pemerkasaan wanita, menentang sentimen anti sawit yang tersebar luas dan mengetengahkan apa yang dikatakan sebagai Malaysia Baharu.
Dalam pertemuan dua hala dengan Federica Maria Mogherini, Wakil Tinggi EU bagi Dasar Hal Ehwal Luar dan Keselamatan, di luar sidang kemuncak itu, Dr Wan Azizah memperoleh ketetapan bahawa Januari 2019 sebagai bulan untuk Malaysia dan EU menandatangani perjanjian kerjasama perkongsian (PCA ).
Setiap negara anggota ASEAN perlu terlebih dahulu menandatangani PCA dengan EU untuk melayakkan diri bagi perjanjian perdagangan bebas (FTA).
Dr Wan Azizah juga mengetengahkan dan menjadi pencelah dalam beberapa isu penting, seperti memerangi keganasan dan pelarian serta migrasi, pada sidang kemuncak ASEM itu. – BERNAMA