WASHINGTON – Penasihat Rumah Putih, Jared Kushner berkata beliau telah menggesa Putera Mahkota Arab Saudi untuk bersikap telus berhubung pembunuhan Jamal Khashoggi dan memberitahu, seluruh dunia sedang memerhatikan Riyadh susulan kehilangan wartawan berkenaan.
Khashoggi, kolumnis di akhbar Washington Post dan pengkritik tegar Putera Mohammed Salman, pemimpin de facto negara minyak itu dilaporkan hilang tiga minggu lalu selepas dilihat memasuki bangunan konsulat Arab Saudi untuk mengambil dokumen perkahwinan.
Riyadh menafikan mengetahui nasib menimpa Khashoggi sebelum menyatakan lelaki terbabit terbunuh dalam satu pergaduhan di konsulat, satu reaksi yang diterima dengan penuh skeptikal oleh beberapa kerajaan Barat, sekali gus mengeruhkan hubungan bersama negara pengeksport minyak terbesar dunia itu.
Keraguan yang semakin menebal terhadap peranan Arab Saudi dalam kes ini menyebabkan komen diberi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump juga semakin pelbagai.
Beliau kelihatan cuba menepis peranan Arab Saudi dalam insiden terbabit tetapi turut memberi amaran mengenai potensi pelaksanaan sekatan ekonomi, selain berulang kali menegaskan kepentingan negara itu sebagai rakan sekutu Amerika Syarikat (AS).
Seorang pegawai kanan kerajaan berkata, Kushner, penasihat kanan yang juga menantu Trump telah membina hubungan peribadi dengan Putera Mohammed dan menggesa presiden AS itu untuk bertindak dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan hubungan strategik serta kerjasama ekonomi antara kedua negara menjadi keruh.
Kushner dalam satu wawancara bersama CNN pada Isnin berkata, beliau telah memberitahu putera mahkota itu untuk bersikap telus kerana kes terbabit menjadi perhatian seluruh dunia.
“Saya katakan pada beliau bahawa anda hanya perlu bersikap telus, secara keseluruhan. Seluruh dunia sedang memerhati. Ia adalah satu tuduhan dan situasi yang sangat-sangat serius,” katanya.
Ditanya mengenai reaksi putera itu, Kushner hanya memberikan satu jawapan ringkas, “Kita tunggu,” katanya. – Reuters/BH ONLINE
