KUALA LUMPUR – Jenazah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan akan dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara pada Jumaat ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Beliau berkata penggalian semula kubur Allahyarham semalam yang berlangsung selama tiga jam 45 minit itu dilakukan mengikut proses mahkamah dan ketetapan agama.
Mohamad Fuzi berkata proses bedah siasat kali kedua yang dijalankan pada petang semalam bermula pada sekitar 4 petang dan sehingga kini polis masih menunggu laporan bedah siasat itu.
“Keputusan bedah siasat kes berkenaan akan diumumkan kemudian,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar pemantapan integriti di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Semalam, jenazah Allahyarham Nazrin telah dibawa keluar dari tanah perkuburan berkenaan untuk bedah siasat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kes bunuh mangsa itu.
Pada 3 Ogos lepas, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.
Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lepas yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca akibat letupan telefon bimbitnya. – BERNAMA