KESAL… Tampak makin menjadi-jadi perangai ‘haprak’ jemaah menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang ini, kata Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi.
Beliau merujuk beberapa kenyataan kontroversi anggota Kabinet PH antaranya isu warna stoking pelajar sekolah oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik selepas kecoh dengan arahan pemakaian kasut berwarna hitam.
Terkini, Puad menyindir kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu atau Mat Sabu mendakwa hutang negara konon sebenarnya lebih besar daripada RM1 trilion yang didedahkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
“Menurut Mat Sabu, ia terpaksa dirahsiakan sebab takut Malaysia jadi muflis. Tetapi apabila dia sendiri yang mendedahkannya dalam satu majlis dialog di Universiti Malaya, tidakkah itu membocorkan rahsia namanya?
“Setahu kita Mat Sabu suka membocorkan rahsia seperti mendedahkan rahsia kemampuan persenjataan dan sistem pertahanan Malaysia di Parlimen. Begitu sekali rendahnya mentaliti Mat Sabu. Menuduh ikut sedap mulut sahaja.
“Apakah hutang negara boleh dirahsiakan?” bidas Puad dalam hantaran tulisan menerusi laman sosial Facebooknya hari ini merujuk pendedahan Mohamad di Dewan Rakyat sebelum itu mengenai jumlah jet pejuang boleh terbang.
Mengulas lanjut, bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas itu berkata, sebenarnya Mohamad ‘terkejut beruk’ ketika itu kerana dibelasah ‘kaw-kaw’ oleh seorang mahasiswa mengenai janji 100 hari yang gagal ditunaikan PH.
“Itu punca dia berbohong untuk reda kecaman penuntut berkenaan. Bila masa pula menteri-menteri PH ini jadi suci bersih dengan tidak cerita rahsia sebenarnya apatah lagi jika boleh buruk imej kerajaan sebelumnya?” soal beliau.
Tegas Puad, kalau laporan ekonomi negara pun mahu dijadikan bahan mainan oleh kalangan menteri PH, maka apa sahaja laporan ekonomi dan kewangan dikeluarkan mereka sendiri selepas ini agak sukar dipercayai kesahihannya.
“Jelaslah menteri-menteri PH ini haprak, tidak layak diberi gelaran Datuk Seri dan Datuk terlalu awal,” kata beliau dalam nada sinis merujuk beberapa menteri terima gelaran berkenaan di Melaka minggu lalu. – Mynewshub.TV