MARUAH… Di sebalik tohmahan jahat yang mendakwa konon beliau ketua geng lompat parti, Datuk Seri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan beliau kekal setia bersama-sama UMNO.
Penjelasan bekas Menteri Pertahanan itu turut mematikan spekulasi liar kononnya beliau antara 40 wakil rakyat UMNO yang bakal ikut jejak Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed lompat parti menyertai PPBM.
“Saya tegaskan sekali lagi saya tidak akan keluar parti, mungkin sudah seorang kurang daripada 40 itu. Orang putih kata kalau nak tahu ‘actions speak louder than words’ (tindakan lebih baik berbanding sekadar berkata-kata)…
“Maka ‘action’ saya hari ini (membuktikan) mana ada keluar parti,” kata Ahli Parlimen Sembrong itu ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini sebagai tepis khabar angin konon beliau akan keluar UMNO menyertai PPBM.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Datuk A Kadir Jasin dilaporkan mendakwa kononnya kira-kira 40 ahli Parlimen UMNO mungkin meninggalkan parti keramat tersebut untuk menyertai PPBM dalam masa terdekat.
Ini kerana mereka sudah beberapa kali menemui Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kepimpinan tertinggi parti itu, secara berseorangan atau berkumpulan.
Mengulas dengan lebih lanjut, Hishammuddin berkata, beliau dan baki ahli Parlimen UMNO yang lain masih lagi mempunyai maruah diri dan tidak akan khianati parti berkenaan dengan cuba masuk parti serpihan lebih kecil.
“Setiap wakil rakyat ada maruah mereka, mereka ada maruah mereka masing-masing, boleh tanya,” kata bekas Naib Presiden UMNO tersebut dalam nada sindiran terhadap PPBM yang paling kurang wakil di Parlimen ketika ini.
Bahkan ujar Hishammuddin, spekulasi kononnya ada wakil UMNO akan menyertai PPBM beramai-ramai sengaja dijadikan isu oleh PPBM untuk sengaja memanaskan keadaan seolah-olah perkara itu memang bakal berlaku.
“Hari ini buat satu isu, memang dua, tiga hari panas tetapi apabila tidak benar, mereka (PPBM) akan alih kepada isu yang lain pula,” kata beliau dalam nada sinis. – Agensi/Mynewshub.TV