MANILA – Tahap kesihatan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, terus timbulkan persoalan selepas memaklumkan bahawa beliau jalani beberapa ujian kesihatan ketika kunjungi hospital, baru-baru ini.
Duterte berkata demikian ketika menghadiri satu majlis rasmi, semalam dan kenyataan itu dibuat sehari selepas beliau gagal menghadiri mesyuarat Kabinet dan beberapa lagi acara.
Beliau pernah ‘hilang’ dari pandangan umum sebelum ini, malah kelibat Duterte tidak dilihat orang ramai selama seminggu tahun lalu, sekali gus meningkatkan spekulasi bahawa presiden itu sedang sakit.
Namun, Kerajaan Filipina menganggap spekulasi yang timbul itu sebagai tidak berasas.
Bagaimanapun, kenyataan itu adalah yang pertama, seolah-olah mengesahkan bahawa sedang mengalami masalah kesihatan.
“Secara fizikalnya, saya tidak tahu bagaimana keadaan saya, jadi saya perlu menunggu mengenai perkara itu.
“Tetapi yang pasti, saya akan beritahu anda jika ia kanser, jadi ia adalah kanser. Sekiranya ia berada pada tahap tiga atau tiada lagi rawatan diperlukan.
“Saya tidak akan terus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan kakitangan pentadbiran atau pihak lain,” katanya ketika berucap pada majlis bagi meraikan anggota tentera dan polis, yang diadakan di istana presiden.
Ucapan itu disiarkan secara langsung menerusi televisyen.
Sementara itu, Setiausaha Eksekutif, Salvador Medialdea mengesahkan bahawa Duterte menjalani prosedur kolonoskopi semalam, dan ia adalah perlu dilakukan presiden itu setiap tahun.
“Saya sudah menjalani ujian yang sama tiga minggu lalu, tetapi doktor mahu mengambil lebih banyak tisu sebagai sampel,” kata Medialdea. – Reuters/BH ONLINE

