KUALA LUMPUR – Apa kena mengena UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini?
Mungkin itu persoalan yang wajar dikemukakan kepada Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Rashid Hasnon.
Entah mengapa UMNO dan BN pula diburukkan oleh beliau berikutan isu beli undi yang berlaku pada pemilihan PKR kali ini.
“Kenyataan keras Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebut pembeli undi dalam pemilihan PKR sebagai “haprak syaitan” wajar diambil berat.
“Kita sedar bahawa perbuatan membeli undi itu adalah kerja parti yang dikalahkan dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu,” dakwanya dalam satu kenyataan media malam tadi.
Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini mendedahkan ada calon yang disebut beliau sebagai ‘pihak sebelah sana’ membeli undi.
Pendedahan itu pantas menimbulkan kemarahan Anwar yang juga Presiden PKR.
Rashid berkata, pemimpin yang menggunakan wang dan tawaran akan ditolak oleh anggota parti.
“Sebarang bentuk kecurangan wajar dilaporkan langsung kepada jawatankuasa disiplin dan wajib bertindak segera untuk menanganinya,” katanya. – MYNEWSHUB.TV