SEREMBAN – Kes sebuah premis memproses sate tulang Jelebu di sini yang diarah tutup semalam kerana didapati kotor turut memberi kesan kepada beberapa pengusaha sate tulang lain.
Pengusaha Ratu Sate Tulang Jelebu, Quratun Aini Abu Mansor, 22, berkata, dia mendapat banyak panggilan daripada pelanggan bertanyakan sama ada premis yang diarah tutup di Senawang itu miliknya.
“Walaupun saya adalah anak kepada pemilik gerai sate terbabit tetapi perniagaannya tiada kaitan dengan saya. Kami mempunyai tempat memproses sate masing-masing.
“Lagipun saya berniaga di Sendayan dan Seremban sejak tiga tahun lalu. Saya minta pelanggan jangan anggap semua sate tulang Jelebu kotor. Kalau satu premis kotor bukan bermakna semuanya macam itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Quratun Aini, dia juga telah memuat naik video dan gambar penyediaan sate yang dilakukannya supaya pelanggan berpuas hati dengan aspek kebersihan sate yang dijualnya.
Sementara itu, pengusaha ABM Sate Tulang Jelebu, yang dikenali sebagai Qila Rahman turut membuat penjelasan berhubung isu berkenaan menerusi laman sosial Facebook.
Menurutnya, kedai yang diusahakan oleh keluarganya beroperasi di Kuala Klawang, Jelebu dan tiada kaitan dengan premis yang diserbu pihak berkuasa semalam.
“Kami produce setiap hari. Kebersihan sentiasa diutamakan. Lebih 50 tahun nama Sate Tulang Jelebu menapak di Jelebu, Negeri Sembilan, dan sehingga hari ini, tiada masalah sate busuk atau pelanggan sakit perut,” tulisnya. – UTUSAN ONLINE