KUALA LUMPUR – Seorang bekas banduan yang beberapa kali merengkok di dalam penjara atas pelbagai kesalahan termasuk samun bersenjata bagaikan tidak serik apabila dipenjara lagi buat kali keenam atas kesalahan merompak seorang warga emas, bulan lalu.
Rahman, 34, atau lebih dikenali sebagai ‘Bob pisau’ yang merupakan seorang gelandangan dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun oleh Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kesnya di Mahkamah Sesyen di sini.
Tertuduh didakwa melakukan rompakan ke atas Nikmat Mahat, 60, juga seorang gelandangan iaitu dengan mengambil sebuah telefon bimbit mangsa di laluan belakang Persiaran Daya Bumi Off Jalan Tun Sambathan, di sini pada 5 petang, 3 Julai lepas mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.
Lelaki itu turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana gagal menunjukkan kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan diri sementara, yang dikeluarkan di bawah Peraturan 12 dan 15 kepada pihak polis untuk pemeriksaan di tepi Sungai Klang, Jalan Sultan Hishamuddin, di sini pada 6 petang hari sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Peraturan 25 (1) (n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 3 Julai lepas.
Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan manakala Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran terhadap tertuduh.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah menghampiri mangsa yang sedang mengecaj telefon bimbitnya lalu mengetuk kepala mangsa untuk meminta wang namun mangsa memberitahu dia tidak mempunyai wang menyebabkan tertuduh merampas telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri. – BERNAMA

