KOTA BHARU – Seorang bayi perempuan yang dibalut sehelai kain ditemui ditinggalkan di laluan pejalan kaki berhampiran Perhentian Bas Kota Bharu di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi, bayi perempuan yang sudah cukup sifat ditemui oleh seorang wanita berusia 30 tahun bersama dua lagi rakannya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, wanita tersebut yang berada di kaunter tiket perhentian bas itu mendengar bunyi seakan-akan kucing meraung di laluan pejalan kaki.
“Sebaik meninjau ke arah bunyi tersebut wanita itu melihat terdapt seorang bayi perempuan tanpa pakaian dan hanya dibalut dengan kain warna gelap sedang menangis.
“Bayi itu kini ditempatkan di Wad Kanak-kanak Hospital Raja Perempuan Zainab II dan disahkan dalam keadaan sihat dan cukup sifat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan ibu bayi itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi berkenaan,” tambahnya. – K! ONLINE
*Sekadar Video Hiasan..