ROME – Kerajaan baharu Itali akan melaksanakan larangan membeli-belah pada setiap hari Ahad di semua pusat membeli-belah utama negara itu, sebelum akhir tahun ini.
Inisiatif itu diambil, ketika negara itu cuba mempertahankan tradisi kekeluargaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Luigi Di Maio, semalam.
Dalam percubaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, bekas Perdana Menteri Itali, Mario Monti melonggarkan penjualan Ahad pada 2012, walaupun berdepan tekanan Gereja Katolik Roman dan pelbagai kesatuan bahawa negara itu patut mengekalkan hari rehat tradisi itu.
“Kelonggaran ini memusnahkan keluarga Itali. Kita perlu mula mengehadkan waktu operasi pusat membeli-belah sekali lagi,” kata Di Maio kepada pemberita.
Awal tahun ini, Poland mengehadkan aktiviti membeli-belah pada Ahad, ketika kerajaan konservatif di Warsaw cuba mengamalkan kembali nilai-nilai Katolik Roman. – Reuters/myMetro Online

