KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan kedudukan Lim Teong Kim selaku Pengarah Akademi Bola Sepak Negara di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) tidak akan terjejas.
Syed Saddiq yang mengakui turut mengidam hari Malaysia layak beraksi dalam Piala Dunia, berkata beliau berasa turut bertanggungjawab selepas kegagalan skuad negara melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja Bawah 17 tahun di Peru, tahun depan.
“Saya tidak memecat Lim Teong Kim dan NFDP akan diteruskan. Selepas sahaja perlawanan tersebut, pihak FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) telah memecat Teong Kim sebagai jurulatih Skuad Bawah 16 Tahun Kebangsaan.
“Ini tiada kaitan dengan NFDP dan beliau masih merupakan Pengarah Akademi Bola Sepak Negara yang sah di bawah NFDP sehingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun, katanya beliau tidak boleh lari daripada realiti bahawa NFDP menghadapi situasi kewangan yang sangat teruk pada waktu ini.
Beliau berkata dana khas sebanyak RM20 juta setahun yang dijanjikan kerajaan terdahulu tidak diterima seperti yang dijanjikan sejak tahun pertama NFDP dilancarkan.
“Akibat masalah ini, MSN (Majlis Sukan Malaysia) hari ini terpaksa menggunakan dana mereka sendiri yang diambil daripada peruntukan untuk keperluan lain bagi menanggung perbelanjaan NFDP,” katanya.
Pada masa sama, Syed Saddiq berkata beliau tetap dengan pendirian untuk menilai semula pakej gaji Teong Kim yang mencecah RM175,000 sebulan di bawah NFDP dan tidak bermaksud mempersoalkan kelayakan bekas jurulatih B-16 itu menerima jumlah gaji tertentu.
“Rakyat perlu maklum bahawa sebelum ini 80 peratus daripada gaji beliau dibayar oleh penaja tetapi semenjak dua tahun lepas MSN menanggung kesemua pembayaran tersebut selepas penaja menarik diri. Tanggungjawab MSN kepada sukan lain akan turut terjejas,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata penilaian semula itu turut merangkumi aspek lain dalam program tersebut iaitu pengurusan, pertandingan, perbelanjaan alatan dan atlet muda NFDP.
Syed Saddiq berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk mengambil kira keperluan peruntukan yang sesuai bagi terus membantu membangunkan sukan bola sepak negara.
“Pada masa yang sama, usaha untuk membawa masuk lebih banyak penaja sedang diteruskan dan menampakkan perkembangan yang positif. Kita perlukan lebih banyak penglibatan daripada sektor korporat dalam pembangunan sukan negara,” katanya. – BERNAMA