SHAH ALAM – Selangor akan menjadi negeri pertama melaksanakan had umur minimum perkahwinan iaitu 18 tahun, sekiranya cadangan pindaan enakmen mengenai perkara itu diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada persidangan kali ini.
Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim bagaimanapun berkata cadangan pindaan serta kelulusan undang-undang itu perlu dibuat secara holistik dan komprehensif bagi memastikan kepentingan perkahwinan golongan muda tidak terjejas pada masa depan.
“Sebelum ini had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan perempuan di Selangor adalah 16 tahun. Sekiranya pindaan itu (dinaikkan kepada 18 tahun) diluluskan, Selangor bakal menjadi negeri pertama melaksanakannya,” katanya kepada pemberita di lobi Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Perasmian Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 yang disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Terdahulu, dalam titah ucapan perasmiannya, Sultan Sharafuddin memberi perkenan terhadap cadangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan orang Islam di negeri itu kepada 18 tahun berbanding 16 sekarang.
Baginda bertitah pindaan itu perlu bagi memastikan perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia terlalu muda tidak mendatangkan kemudaratan pada masa depan. – BERNAMA
