KUALA LUMPUR – Ringgit mengakhiri penurunannya selama tiga hari berturut-turut dengan dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini dalam keadaan kenaikan harga minyak dunia, kata seorang peniaga.
Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1380/1420 berbanding 4.1390/1430 yang dicatatkan pada 6 petang semalam.
Seorang peniaga berkata sentimen dalam pasaran adalah positif selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus, kenaikan ketiganya bagi tahun ini.
“Penggubal dasar merangka pelan untuk mengukuhkan dasar monetari dan menjangkakan ekonomi akan menikmati pertumbuhan sekurang-kurangnya tiga tahun lagi. Ini mencetuskan minat baharu dalam pasaran pertukaran asing,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0308/0340 daripada 3.0320/0354 pada Rabu dan mengukuhkan berbanding euro kepada 4.8638/8689 daripada 4.8695/8747.
Ringgit, bagaimanapun, susut berbanding yen Jepun kepada 3.6668/6707 daripada 3.6648/6699 semalam dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4518/4596 daripada 5.4486/4543. – BERNAMA

