PEKAN – Seorang pemandu pelancong di Pulau Tioman maut manakala rakan sekerjanya cedera selepas kereta mereka terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah bas di Km55, Jalan Kuantan-Segamat hari ini.
Dalam kejadian pada 2.30 petang itu, Wong Wei Xiang, 22, beralamat di Taman Bandar Baru Selayang, Batu Caves maut di tempat kejadian manakala rakannya, Lim Ya Wen, 28, daripada Endau, Johor cedera ringan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pekan DSP Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian berlaku apabila Wong yang memandu kereta jenis Honda City dari arah Kuantan ke Segamat (untuk pulang ke Pulau Tioman) dipercayai mengantuk lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.
“Dalam masa yang sama, sebuah bas tanpa penumpang yang dinaiki hanya pemandu dan pemandu kedua dari arah bertentangan, tidak sempat mengelak lalu bergesel dengan kereta mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit di dalam kenderaan manakala bas berkenaan rosak teruk di bahagian hadapan sebelah kanan, katanya.
Zaidi berkata mangsa yang maut dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat manakala wanita itu yang cedera ringan mendapatkan rawatan di Hospital Muadzam Shah.
Beliau berkata kedua-dua pemandu bas berusia 28 dan 42 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan akan menjalani ujian saringan air kencing.
Katanya ketika kejadian keadaan cuaca baik. – BERNAMA