GEORGE TOWN – Seorang pemain bola sepak warga Ukraine, Oleksandr Shcherbinin, yang juga peserta kejohanan Asia Pacific Master Games (APMG) 2018, meninggal dunia selepas rebah di dalam bilik hotelnya di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif APMG 2018 Linda Geh berkata kematian atlet itu telah dimaklumkan kepada keluarganya di Ukraine dan penganjur APMG bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa, termasuk Kedutaan Ukraine, bagi urusan penghantaran pulang mayatnya ke Kiev.
“Bagi pihak penganjur kejohanan, saya ingin merakam ucapan takziah kepada keluarga Oleksandr Shcherbinin. Semoga rohnya tenang di sana,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shcherbinin, 57, rebah di dalam bilik hotelnya di Pulau Pinang pada 6.55 pagi, disyaki akibat serangan jantung selepas beliau sebelum itu mengadu sakit dada kepada rakan sebiliknya.
Ambulans segera digegaskan ke hotel berkenaan, bagaimanapun usaha untuk menyedarkannya tidak berhasil. Bedah siasat dijalankan pada pukul 2 petang.
Shcherbinin meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan. Beliau bermain sebagai penjaga gol pasukan Kharkiv Masters bagi kategori bola sepak lelaki 55 tahun dan ke atas dalam APMG.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata bedah siasat yang dikendalikan oleh Dr R. Sathya Rao dari Hospital Pulau Pinang mendapati Shcherbinin meninggal dunia akibat serangan jantung.
“Tiada perbuatan khianat disyaki dilakukan dan semasa insiden itu, mangsa dibantu oleh rakan sebiliknya,” katanya menerusi WhatsApp. – BERNAMA