SINTOK – Seorang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak menjadikan kecacatan sebagai penghalang untuk berjaya dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti insan normal lain.
Pelajar itu, Muhammad Faiz Roslan, 20 dari Kampung Asun, di sini mengalami masalah saraf pada kedua-dua belah kakinya sejak kecil sehingga menyebabkan dia tidak boleh berjalan dan bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda untuk bergerak.
Ketika ditemui pada sesi kemasukan pelajar baharu Universiti Utara Malaysia ( UUM) 2019-2019 di sini, Muhammad Faiz mengakui agak sukar berdepan dengan tempat baharu ini, namun beliau berkeyakinan bahawa dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak universiti bagi OKU, dapatlah beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian, sekali gus mencapai cita-citanya menjadi seorang pakar ekonomi suatu hari nanti
“Saya anak tukang rumah dan bapa dapat RM1,000 sebulan, jadi inilah masanya saya nak balas budi keluarga yang bersusah payah selama ini membawa saya ke sekolah sejak kecil lagi.
“Bagi saya peluang hanya datang sekali, sebelum memilih UUM sebagai pilihan utama, saya sendiri telah membuat sedikit kajian mengenai kemudahan di sini yang ternyata sangat mesra OKU,” kata anak bongsu daripada dua beradik yang akan mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans (Kepujian).
Muhammad Faiz turut memuji tindakan pihak universiti menyediakan van OKU untuk pelajar OKU berulang-alik ke kelas dan asrama penginapan setiap hari.
Turut berkongsi kegembiraan ialah Siti Hadijah Amdan, 20, dari Kluang, Johor yang terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan akibat kemalangan jalan raya empat tahun lepas.
Akibat kejadian itu, beliau yang akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) di UUM ini tidak memiliki tumit kanan.
“Sepatutnya saya perlu menjalani pembedahan tapi saya minta tangguh supaya dapat menyambung pengajian di sini dan saya harap dapat mencapai impian bagi mengubah nasib keluarga berikutan bapa saya hanya mengambil upah memotong rumput dengan pendapatan kira-kira RM900 sebulan,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Bashawir Abd Ghani berkata, seramai 4,764 pelajar baharu terdiri daripada lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma, matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pelajar antarabangsa mendaftar sebagai pelajar baharu bagi mengikuti 40 program bagi sesi 2018/2019 yang ditawarkan UUM.
Daripada jumlah itu, seramai 3,467 adalah perempuan, manakala 1,297 adalah pelajar lelaki dan 74.2 peratus adalah daripada kalangan keluarga berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah. – BERNAMA

