KUALA LUMPUR – Lebih 20,000 ‘pakar’ kecantikan atau estetik tidak bertauliah didakwa bebas menawarkan khidmat rawatan kecantikan di negara ini yang dikhuatiri boleh mendedahkan pengguna kepada pelbagai komplikasi kesihatan, termasuk kanser dan maut.
Pengarah Kursus Aesthetic Academy Asia, Datuk Dr Morthy Subramanian, mendedahkan hanya kira-kira 200 daripada 20,000 doktor dalam bidang estetik atau rawatan kecantikan mempunyai pentauliahan Letter of Credentialing and Privileging (LCP) di bawah Kementerian Kesihatan.
“Ramai sangka semua pusat kecantikan atau spa ada doktor bertauliah, sedangkan sebenarnya mereka tiada LCP,” katanya sambil menambah, LCP diperkenalkan kira-kira enam tahun lalu sebagai usaha Kementerian Kesihatan memantau peningkatan mendadak pengamal perubatan estetik di pasaran.
Katanya, bilangan pakar bertauliah terlalu kecil, manakala selebihnya ber-operasi secara haram dipercayai kerana tempoh ujian panjang untuk memperoleh LCP, selain prosedur ujian yang amat ketat.
“Ujian dijalankan amat ketat bukan sahaja kepada pengamal am perubatan, tetapi juga bagi yang mempunyai gelaran pakar perubatan. Mungkin sebab itu, ramai tidak menjalani kursus untuk mengamalkan perubatan estetik, sebaliknya memilih melakukan rawatan tanpa lesen,” katanya.
Mengulas garis panduan untuk pengamal am perubatan (Chapter 1), Dr Morthy berkata, ia termasuk perlu berdaftar sepenuhnya dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMA) dan mematuhi semua aspek tatalaku profesional badan itu.
Bagi pakar pembedahan estetik pula, katanya, prosedur lebih ketat termasuk disyaratkan mempunyai kelayakan lebih tinggi dalam pembedahan dan berdaftar dengan Daftar Pakar Kebangsaan dalam disiplin pembedahan untuk dianggap sebagai pakar bedah.
“Tidak sewenang-wenangnya boleh jadi pakar estetik bertauliah menyebabkan kewujudan LCP penting bagi memastikan setiap kaedah rawatan tidak berisiko dan selamat, selain membendung klinik tanpa tauliah sewenang-wenangnya menawarkan pembedahan atau prosedur kosmetik,” katanya.
Mahu cepat cantik
BH difahamkan, kebanjiran pakar estetik ‘jadian’ berpunca apabila ramai pengguna ingin cantik dengan cepat tanpa mengeluarkan belanja tinggi, malah sesetengah bergantung kepada ubat-ubatan kosmetik yang berlambak di pasaran serta diragui ketulenannya.
Malah, ada pakar estetik palsu dikatakan dalam kalangan mereka yang memulakan perniagaan kosmetik kecil-kecilan atau bekerja di spa, tetapi maju setapak sehingga menggelarkan diri mereka pakar kecantikan selepas menghidu peluang untuk mengaut lebih banyak wang.
Dr Morthy berkata, orang ramai khususnya wanita cenderung mendapatkan khidmat pusat kecantikan yang tidak mempunyai pakar bertauliah kerana bayaran dikenakan jauh lebih murah, contohnya pembesaran payu dara hanya perlukan kira-kira RM3,000 berbanding caj RM10,000 hingga RM18,000 dikenakan pakar bertauliah.
Bagi rawatan laser, caj sekitar RM100 dikenakan berbanding rawatan pakar sebenar antara RM200 hingga RM800, manakala caj suntikan filler pula antara RM10,000 hingga RM15,000 menggunakan bahan berkualiti dengan kajian rapi serta kurang berisiko.
Khidmat sama ditawarkan individu tanpa tauliah pula hanya dari harga serendah RM500 menggunakan silikon atau paraffin. Untuk sedutan buang lemak, caj RM10,000 ke RM15,000 dengan kehadiran pakar bius, mesin serta alat khas, berbanding pakar jadian yang menawarkannya pada harga serendah RM5,000.
Mengulas risiko menggunakan khidmat pakar kecantikan tidak bertauliah, Dr Morthy memberi contoh prosedur rawatan pengambilan ‘toksin botulinum’ atau lebih dikenali ‘botox’.
“Masalah timbul apabila individu mengendalikan rawatan botox tiada kelayakan untuk memahami komplikasi dan risiko rawatan kepada pesakit.
“Ia menjurus kepada kemungkinan kesan sampingan termasuk kehilangan nyawa,” katanya.
Selain mengundang maut, komplikasi lain termasuk hilang fungsi anggota badan, mati otak, buta, kanser, jangkitan kuman, lumpuh bahagian muka, kulit terbakar serta lemah tenaga batin. – BH Online