JOHOR BAHRU – Seorang ‘mat rempit’ dijatuhkan hukuman penjara lima hari serta didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya pada bulan lepas.
Majistret Nur Sulehan Abd Rahman turut mengarahkan Syawalludin Abu Bakar, 21, menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh yang juga seorang mekanik turut hilang kelayakan daripada mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.
Mengikut kertas pertuduhan, Syawalludin didakwa menunggang motosikal secara melulu dengan melakukan aksi ‘wheelie’ (mengangkat tayar hadapan) dan membahayakan nyawa orang awam di Jalan Skudai Pantai Lido, kira-kira jam 1.30 pagi, 9 Sept lalu.
Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.
Selain Syawalludin, tiga lagi individu turut didakwa dengan pertuduhan sama dan memilih untuk mengaku bersalah.
Bagaimanapun, ketiga-tiganya yang merupakan remaja lelaki bawah umur (15-17 tahun) tidak dijatuhkan terus hukuman kerana mahkamah masih menunggu serahan dokumen dan laporan akhlak daripada pihak pendakwaan pada 8 Okt ini.
Berikutan itu, seorang daripadanya dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM1,000 manakala dua lagi sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan menunggang motosikal secara melulu di jalan sama pada 8 dan 9 Sept lepas.
Sementara itu, empat lagi individu yang turut didakwa dengan pertuduhan sama memilih mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dan memohon dibicarakan.
Mereka ialah S Parthiba Kumar, 19; P Thigarajan, 25; Jack Daniel Joseph Pareyra, 21; dan L Theeba Nagan, 22.
Parthiba, Thigarajan dan Jack Daniel didakwa menunggang motosikal secara melulu dengan melakukan aksi ‘wheelie’ (mengangkat tayar hadapan) dan menundukkan kepala serta menunggang dengan kelajuan tinggi hingga membahayakan orang awam pada 18 Ogos lepas.
Kesalahan dilakukan di Jalan Skudai Pantai Lido kira-kira jam 12.20 malam.
Theeba pula didakwa menunggang motosikal dengan kelajuan tinggi di sisi kenderaan awam dan membahayakan orang awam di tempat dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan tersebut, Parthiba, Thigarajan dan Jack Daniel didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala Theeba didakwa mengikut Seksyen 81(1) akta sama.
Nur Sulehan membenarkan Parthiba Kumar, Thigarajan, Jack Daniel diberi ikat jamin sebanyak RM3,000 dan Theeba Nagan (RM1,000) masing-masing dengan seorang penjamin.
Beliau juga mengarahkan kesemuanya melantik seorang peguam dan menetapkan 25 Okt depan sebagai tarikh serahan dokumen untuk memulakan perbicaraan.
Kesemua pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Mahkamah Khas Trafik Johor Bahru, Inspektor Zulkifly Abdullah. – BERNAMA