PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertemu dengan Presiden Iran, Hassan Rouhani semasa menghadiri perhimpunan agung tahunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Dalam pertemuan tersebut, Rouhani mengalu-alukan hubungan kedua-dua buah negara, yang dilihat semakin mesra dan meningkat baik di bawah kerajaan baharu.
Putrajaya setakat ini telah melaksanakan dua langkah yang menjarakkan daripada Riyadh, sehingga merenggangkan hubungan dengan Arab Saudi, negara rakan baik Malaysia.
“Kita perlu bekerja keras lagi meningkatkan hubungan dalam pelbagai bidang, seperti perdagangan dan ekonomi, komunikasi, jalan kereta api dan pelabuhan, pertanian dan industri,” kata Rouhani seperti dilapor IRNA.
Rouhani turut memuji kerjasama rapat antara pegawai kedua-dua negara dalam meneruskan kerjasama.
Iran sebelum ini didakwa memberi dana kepada pembangkang Malaysia sebagai usaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mesra Saudi.
Dakwaan ini dikuatkan oleh sikap kerajaan Pakatan Harapan yang menunjukkan pendirian baharu yang tidak mahu meneruskan hubungan baik dengan Riyadh.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pula telah melaksanakan dua langkah yang menunjukkan sikap menghentikan kerjasama dengan Saudi, dengan membawa balik tentera Malaysia dari Arab Saudi dan menutup dengan segera pusat antikeganasan tajaan Arab Saudi di Putrajaya.
Pertemuan Mahathir dengan Rouhani menunjukkan bukti kukuh hubungan lebih mesra antara Putrajaya dengan Tehran. – Mynewshub.tv

