KUALA LUMPUR – Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad agak kagum dengan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat gergasi dari China Alibaba, Jack Ma.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin berkata, Jack Ma memberi inspirasi kepada peneraju Malaysia menggerakkan negara ini ke arah ” cashless society”
“Semua mungkin tahu yang Alibaba adalah sebuah syarikat yang diasaskan 19 tahun dulu di China dan boleh diklasifikasi sebagai ” global e-commerce giant”.
“Semua juga tahu Jack Ma telah datang ke Malaysia dan menziarahi YAB PM (Mahathir) dan YAB Tun juga telah membuat kunjungan balas ke atas Jack Ma semasa YAB Tun membuat lawatan rasmi ke China,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohamed Hanipa berkata, “cashless society” mungkin satu kaedah ampuh untuk mengurangkan kadar korupsi jika pun tidak 100 peratus berjaya menghapuskan gejala rasuah.
Pada 4 November 2016, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengumumkan pelantikan Jack Ma sebagai Penasihat Ekonomi Digital Kerajaan Malaysia dalam kunjungannya k China.
Ikon global China itu malah bersetuju membantu membangunkan ekonomi digital Malaysia bagi merevolusikan ekonomi negara ini menjadi hab e-dagang di rantau ASEAN.
Kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Jack Ma ketika itu bagaimanapun dituduh oleh ramai penyokong PH sebagai satu tindakan menjual dan menggadai kedaulatan negara. – MYNEWSHUB.TV