PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan seorang peguam supaya kes rayuannya diteruskan sungguhpun pertuduhan hasutan terhadapnya telah ditarik balik.
Hakim Datuk Dr Badariah Sahamid, yang mempengerusikan panel tiga hakim, dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan itu selepas memutuskan bahawa sebarang keputusan berkaitan perkara itu adalah bersifat akademik kerana pertuduhan terhadap N. Surendran telahpun ditarik balik.
Beliau berkata pertuduhan terhadap Surendran ditarik balik pada 27 Ogos tahun ini, dan beliau telahpun dilepaskan dan dibebaskan.
“Kami berpendapat sebarang keputusan berkaitan kes ini adalah bersifat akademik,” kata Dr Badariah yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.
Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar memberitahu mahkamah pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan hasutan terhadap Surendran pada 27 Ogos tahun lepas dan Mahkamah Sesyen telah membebaskan serta melepaskan Surendran.
Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa beliau diminta oleh peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, yang mewakili Surendran, supaya mengendalikan kes ini oleh sebab Dr Gurdial kini berada di luar negara.
Beliau berkata Dr Gurdial mahu berhujah sendiri kepada mahkamah kerana beliau berpendapat ada isu penting pada masa kini untuk dibangkitkan.
Sri Ram memohon mahkamah supaya tidak menolak rayuan itu, sebaliknya mendengar kes berkenaan, dan menambah bahawa penarikan balik pertuduhan tidak sepatutnya menghalang kes itu daripada dibicarakan.
Terdahulu, peguam Latheefa Koya yang juga mewakili Surendran, memohon mahkamah supaya mengeluarkan perintah untuk mengisytiharkan pertuduhan itu adalah salah kerana seksyen yang diguna pakai untuk mendakwa anak guamnya telah dimansuhkan.
Beliau berkata sungguhpun mahkamah membebaskan Surendran, kes itu tidak bersifat akademik kerana ia membabitkan kepentingan awam berikutan pertuduhan yang dikenakan adalah campur tangan dalam tugas seorang peguam, dan pihak pendakwaan meneruskan kes itu sungguhpun bukan lagi menjadi kesalahan untuk mengkritik pentadbiran kehakiman selepas Akta Hasutan dipinda pada 2015.
Surendran ialah seorang daripada peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat kedua.
Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen kerana mengeluarkan perkataan berbaur hasutan berkaitan kes liwat kedua Anwar di Istana Kehakiman di Putrajaya antara 2 petang dan 4 petang pada 8 Ogos 2014.
Kenyataan itu didakwa dirakam ke dalam video dan dimuat naik ke YouTube.
Surendran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan itu.- BERNAMA
