IPOH – Kuartet Terengganu beraksi cemerlang apabila menguasai acara 4×100 meter lelaki dan wanita sekali gus menyambar pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Stadium Perak, hari ini.
Skuad 4x100m lelaki Terengganu yang dibarisi Abdul Wafiy Roslan, Ahmad Firdaus Zakaria, Muhammad Saifuldin Rizuan Mohamad Ariffin dan pelari pecut kebangsaan Muhammad Zulfiqar Ismail, mempamerkan larian bertenaga untuk mencatat masa terpantas 40.21 saat.
Pingat perak diraih kuartet tuan rumah, Cheah Yau Chung, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, Muhammad Nazrul Naim Azman dan Russel Alex Nasir Taib yang merekod masa 40.40s, manakala gangsa milik kuartet Sabah (40.42s) yang diwakili Desmond Wong Tzyy Luen, Mohammad Nor Musyaraf Mohd Sari, Muhammad Din Norbik dan Tonga Jody Edmund.
“Saya berbangga dengan rakan-rakan yang berusaha sehingga mencapai sasaran pingat emas ini. Kami hanya mengikut strategi jurulatih dan bersyukur semuanya berjalan seperti dirancang,” kata Muhammad Zulfiqar selepas perlumbaan.
Menurut Abdul Wafiy, mereka juga memperbaharui catatan masa peribadi terbaik sebelum ini, 40.69s yang dilakukan pada Terbuka Malaysia Mei lalu.
Sementara itu, kuartet wanita Terengganu diperkuatkan Azreen Nabila Alias, Nurul Alyssa Azman, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka dan Siti Norzullaika, turut cemerlang dengan catatan masa terpantas 47.01s.
Pingat perak diraih pelari Sabah, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas, Ikma Syaffiera Duris, Karmentina Nadia Quadra dan Nur Aishah Rofina Aling yang ketinggalan hanya 0.5s di belakang Terengganu.
Kuartet Kedah yang membariskan Fatin Ilyana Mat Nayan, Nor Ashikin Md Isa, Rabiatul Yusra Adenan dan Teoh Kim Ling memenangi pingat gangsa selepas mencatat masa 48.74s. – BERNAMA