MALDIVES, negara kepulauan kecil di Lautan Hindi hari ini mengadakan pilihan raya, yang mendapat perhatian rapat kuasa serantau China dan India.
Pilihan raya ini dikecam pelbagai pihak yang menganggapnya sebagai tidak adil ekoran tekanan kuat kerajaan memerintah terhadap penentang.
Pilihan raya ini juga menjadi medan persaingan China dan India, yang menyokong dua pihak bertentangan.
China menyokong Presiden Abdulla Yameen, sementara pesaingnya Ibrahim Mohamed Solih, cenderung pada India dan Barat.
Pilihan raya ini dikritik oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, yang mengancam mengenakan sekatan ke atas Maldives sekiranya suasana demokrasi tidak bertambah baik.
Polis menyerbu ibu pejabat pembangkang pada malam menjelang hari pengundian.

Maldives terdiri daripada satu kepulauan lebih 1,000 buah pulau kecil dengan 400,000 penduduk, terletak di Lautan Hindi, di selatan benua India.
Beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan suasana politik panas di Maldives, termasuk kejayaan bekas presiden yang disingkir pada 2012, Mohamed Nasheed mengetepikan keputusan mahkamah terhadapnya.
Maldives ialah salah sebuah lokasi strategik di Lautan Hindi yang direbut oleh China dan India sebagai sebahagian perancangan geopolitik serantau masing-masing.
Maldives menerima pelaburan besar dari China kebelakangan ini, menyebabkan keresahan India yang melihat negaranya dikelilingi negara yang mesra China.
Projek pelaburan infrastruktur di Maldives ialah sebahagian projek Belt and Road Initiative yang meliputi laluan darat dari China ke Eropah dan laluan maritim melalui Lautan Hindi.
Presiden Yameen dilihat menerima sokongan politik dari China, sekaligus menyebabkan India dan Barat menyokong pihak lawannya sebagai satu usaha mengekang pengaruh China yang semakin kuat di Lautan Hindi. – Agensi/Mynewshub.tv

