IPOH – Perenang dari Johor, Tia’a Faang Der membuat kejutan apabila memecah rekod kebangsaan acara 400 meter (m) rampaian individu lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak di Pusat Akuatik Tuanku Zara di sini hari ini.
Lebih menakjubkan perenang berumur 20 tahun itu melakukan catatan masa empat minit 30:48 saat memadam rekod kejohanan empat minit 34.14s berusia 16 tahun milik perenang dari Sarawak, Die Uang Manggan pada 2002 di Sabah dengan catatan masa 4:34.14s.
Rekod kebangsaan sebelum ini dipegang oleh Sebastian Soo pada kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean pada Julai lalu dengan catatan masa 4:30.85s.
“Saya hanya sasar untuk pecah rekod terbaik saya sahaja iaitu 4:42:49s dan tidak sangka boleh pecahkan rekod kebangsaan.
“Untuk SUKMA ini satu lagi acara yang akan saya sertai iaitu 200m kuak kupu-kupu lelaki dan saya sasarkan emas juga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pingat perak dan gangsa acara itu dimenangi, masing-masing oleh Sebastian Soon dari Wilayah Persekutuan dengan catatan 4:30.79 dan Arvin Shaun Chahal Singh dari Terengganu (4:33.01s).
Acara renang yang membuka tirainya hari ini menyaksikan Selangor mendominasi kutipan pingat sebanyak empat pingat emas daripada lapan acara yang dipertandingkan.
Selangor memenangi pingat emas menerusi Asmalia Filzati Redzuan bagi acara 100m gaya bebas wanita, Ng Jing Fu (100m kuak dada lelaki) Jordan Yip Zhu Ern (50m kuak lentang lelaki) dan Nadia Adrianna Redza Goh (400m rampaian individu wanita). – BERNAMA