KANGAR – Masalah padi angin yang sering dihadapi petani sehingga menjejaskan hasil tuaian dapat dielak jika mereka menggunakan kaedah tanaman dan benih yang betul seperti disyorkan Jabatan Pertanian.
Pengarah Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur jabatan itu, Mohd Nasir Warris berkata antara punca berlakunya padi angin adalah tanaman yang tidak mengikut jadual dan petani gagal mengikut arahan seperti dalam soal penggunaan benih, baja, bahan kimia serta kaedah penjagaan.
“Sebenarnya sudah ada dua teknologi berkesan dalam mengawal padi angin ini iaitu dengan melakukan proses tanaman menggunakan jentera dan menggunakan benih padi jenis ‘clearfield’,” katanya kepada pemberita pada program Hari Ladang Kawalan Padi Angin Untuk Peningkatan Hasil di Bintong, dekat sini, hari ini.
Menurutnya, harga benih padi clearfield berserta racun rumpai ialah kira-kira RM85 seguni dan sehektar sawah memerlukan kira-kira tujuh guni benih.
Beliau berkata jika menggunakan benih padi biasa, harganya memang jauh lebih murah namun ia tidak termasuk racun selain risiko menghadapi masalah padi angin lebih tinggi.
Mohd Nasir berkata, golongan petani boleh ke Jabatan Pertanian untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang i cara mengawal masalah padi angin yang menjejas dan mengurangkan hasil padi.
Padi angin bermaksud jenis-jenis padi yang dikategorikan sebagai rumpai dan ia antara lain mempunyai sifat bijinya mudah terlerai daripada tangkai. – BERNAMA