KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan tiga lelaki dipercayai warga tempatan berhubung kes bunuh kucing dengan memasukkan haiwan itu ke dalam mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi di Taman Gombak Ria pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Samsor Maarof berkata tiga lelaki berumur antara 30 dan 40 tahun itu dikesan bagi menyelesaikan kes mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan berkaitan membunuh binatang.
“Polis memerlukan kerjasama orang ramai dalam menyelesaikan kes terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Orang ramai yang melihat kejadian dan mengetahui lokasi ketiga-tiga lelaki berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Muhammad Najmi Izzuddin Che Ghani pada talian 017-9291359.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit 50 saat di kedai dobi itu tular sejak semalam menunjukkan dua lelaki memasukkan seekor kucing bunting ke dalam mesin pengering pakaian dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam sebelum bangkai kucing itu ditemukan berlumuran darah di dalam mesin berkenaan.
Pihak polis, bagaimanapun mengesahkan terdapat individu ketiga dalam CCTV itu. – BERNAMA