MULAI 10 Mei lalu, PAP Singapura telah mengambil alih kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di tempat ketiga ranking parti paling lama masih memerintah di dunia.
Dalam senarai tersebut, Workers Party Korea Utara di tempat pertama yang memerintah sejak 1948 diikuti Parti Komunis China, bermula 1949 sehingga kini dan kedua-duanya adalah negara yang mengamalkan sistem parti tunggal. Ini bermakna UMNO adalah parti paling lama memerintah di dunia demokrasi sehinggalah 9 Mei lalu.
Dan sebelum UMNO yang menerajui BN dipintas PAP di kedudukan ketiga, parti yang ditubuhkan pada 1946 itu pastinya telah memintas pencapaian parti lain. Satu daripadanya Kongres India, parti yang memperoleh kemerdekaan republik itu pada 1947 – sama sejarahnya seperti UMNO dan PAP.
Kongres walau bagaimanapun kehilangan kuasa lebih awal daripada UMNO iaitu selepas 30 tahun menerajui pentadbiran pasca kemerdekaan India. Namun, parti itu kembali ke tampuk kuasa pada Pilihan Raya Umum 1980, tiga tahun selepas kekalahan besar apabila gabungan parti pemerintah berdepan kemelut sehingga memaksa pilihan raya mengejut diadakan bagi mengelakkan undi tidak percaya di Parlimen.
Kongres mungkin beruntung kerana gabungan parti pemerintah tidak sefahaman dan gagal menampilkan kepemimpinan wibawa. Malah sebelum itu, ada rundingan memikat pemimpin Kongres untuk berada di blok kerajaan sebelum ditolak saat akhir hingga akhirnya Parlimen India dibubarkan sebelum waktunya.
Selepas diberikan peluang kedua kemudiannya, Kongres berjaya mempertahankan kuasa untuk sembilan tahun berikutnya sebelum sekali lagi kalah.
Puncanya kerana terpalit skandal dan beberapa masalah lain yang membangkitkan kemarahan pengundi. Itu penyakit parti berkuasa jika gagal mengawal godaan. Selepas itu, perjalanan Kongres seperti mana parti lain di seantero dunia, ada masa kalah dan ada masa menang.
Bagi pandangan ramai penganalisis, sekali peralihan kuasa berlaku, maka segala kemungkinan telah dibuka kerana rakyat sudah melihat adanya alternatif. Menang atau kalah, bergantung pada isu dan keyakinan pengundi kepada barisan kepemimpinan.
Bagaimana pula nasib UMNO dan BN? Cerita di Malaysia ketika ini mungkin ada mirip-mirip di India ketika penggal pertama Kongres tewas, mungkin. Namun usahlah mengharapkan kerjasama lawan berantakan untuk kembali menjadi kerajaan. UMNO sebagai grand old party Malaysia ada sedikit kelebihan. Ramai masih sayang padanya walaupun marah.
Sebab itu, Perhimpunan Agung UMNO 2018 biar pun tidaklah seperti ketika berkuasa namun serinya tetap ada malah dengan tiadanya lalang, perbahasan jelas lebih bermakna untuk melihat UMNO bangkit – perkataan yang menjadi tema perhimpunan kali ini.
Cuma apa yang diperlukan daripada kepemimpinan adalah keupayaan untuk membawa kebangkitan sehingga dirasakan rakyat bahawa kuasa harus dikembalikan kepada UMNO dan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Itulah hala tujunya. – UTUSAN ONLINE