IPOH – Kekecewaan yang ditunjukkan pelajar tahun lima, Akmal Darwisy Abdul Rahim menjadi tumpuan selepas pasukannya terlepas pingat emas acara Fours Lelaki di Arena Lawn Bowls di sini hari ini.
Ketika ditemui pemberita, atlet paling muda dari Johor itu tidak dapat menahan sebak dan sangat kecewa, sambil mengakui kekalahan pasukannya pada final menentang Selangor berpunca daripada dirinya yang banyak melakukan kesilapan.
Namun, pujian harus diberikan kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Angkatan Tentera di Johor itu kerana penampilan pertamanya berjaya membantu pasukan Johor mara ke final dan meraih pingat perak.
“Saya sedih sebab kekalahan itu berpunca daripada saya. Saya tidak dapat fokus pada final kerana suasana terlalu bising dan mengganggu tumpuan saya tadi. Saya rasa bersalah dengan pasukan.
“Ayah yang banyak mengajar saya dalam sukan ini, dan beliau juga penolong jurulatih pasukan. Saya akan berlatih setiap Sabtu dan Ahad sahaja kerana hari lain saya perlu belajar,” katanya kepada pemberita.
Atlet kelahiran Larkin, Johor itu berharap kekecewaannya dapat ditebus pada aksi Triples Lelaki esok.
“Selepas ini, saya masuk acara triples. Selepas tewas, rakan sepasukan memberi nasihat dan perangsang. Mereka yakin saya boleh memperbaiki kelemahan,” katanya yang bercita-cita menjadi guru. – BERNAMA