IPOH – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Cawangan Manjung menahan seorang lelaki dan menyita 2,000 liter minyak diesel bersubsidi setelah menyerbu sebuah premis di Manjung Khamis lalu.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Mohamad Suhaimi Mohamad Nor berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita sebuah lori dan dua tangki fiber yang digunakan sebagai tempat simpanan bahan bakar tersebut.
Katanya, nilai rampasan keseluruhan bagi serbuan itu dianggarkan sebanyak RM57,600 iaitu RM4,600 untuk minyak diesel, RM1,000 untuk tangki fiber dan RM52,000 untuk lori.
“Serbuan ini dilakukan setelah kita menerima aduan dan maklumat terdapat aktiviti penyelewengan barang kawalan Diesel di premis tersebut.
“Berdasarkan pemerhatian dan risikan selama dua minggu, kita mendapati pemilik premis ini ada menerima bekalan minyak diesel daripada beberapa pembekal di sekitar negeri ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, minyak diesel itu akan disimpan sementara sebelum dijual kepada pelanggan yang kebanyakkannya pihak kilang dan industri di sekitar Manjung dan Teluk Intan.
Katanya, siasatan terhadap pemilik premis berusia 44 tahun itu juga mendapati syarikat tersebut pernah diambil tindakan pada tahun 2013 kerana memiliki barang kawalan diesel tanpa lesen atau kebenaran yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia.
“Syarikat ini juga telah menerima bekalan minyak diesel secara tidak sah daripada beberapa pembekal atau pemborong yang mempunyai lesen di sekitar Perak.
“Selain itu mereka juga ada menjual minyak diesel dan produk campuran diesel kepada kilang atau industri di Teluk Intan dan Manjung,” katanya.-UTUSAN ONLINE
