KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Jepun maut selepas kereta dipandunya merempuh seekor lembu di susur masuk Plaza Tol Bangi, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, Shimizuishi Masatoshi, berusia lingkungan 40-an meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, Rosman Majid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.40 pagi.
“Sepasukan anggota dan jentera kemudian bergegas ke lokasi kemalangan dan tiba lima minit kemudian.
“Ketika sampai di lokasi, anggota bomba mendapati ada kemalangan membabitkan sebuah kereta dan seekor lembu.
“Anggota kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam keretanya dengan menggunakan pemotong hidraulik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Rosman berkata petugas hospital yang turut berada di lokasi kemalangan mengesahkan kematian mangsa.
“Berdasarkan semakan awal mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kawasan perindustrian Nilai.
“Manakala lembu yang dilanggar oleh mangsa turut mati,” katanya. – BH Online