PEKAN – Jenazah adinda kepada Sultan Pahang, Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Abdullah Sultan Abu Bakar, 78, selamat dikebumikan di Makam Diraja Pekan di sini pukul 7.15 malam ini.
Allahyarham kembali ke rahmatullah pada jam 11.30 pagi hari ini akibat barah Limfoma di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat mencemar duli menghadiri istiadat pemakaman di Makam Diraja Pahang.
Hadir sama mantan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga menantu Allahyarham serta isteri Tengku Datuk Seri Marsilla.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, mantan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Anggota Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta anggota-anggota kerabat diraja negeri Pahang.
Jenazah sebelum itu diterbangkan ke negeri ini menggunakan pesawat Charlie dari Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, pada jam 3 petang dan tiba di Pangkalan TUDM Kuantan pada pukul 5.30 petang.
Jenazah kemudian dibawa menaiki kenderaan jenazah khas dengan diiringi kaum kerabat terdekat.
Almarhum Tengku Abdullah meninggalkan seorang isteri Puan Sri Habibah Yusof dan tiga orang anakanda iaitu Tengku Marsilla, Tengku Bakar dan Tengku Shaheera.
Semasa hayatnya Almarhum juga dikenali sebagai seorang individu yang tegas dan berdisiplin seiring dengan latar belakang ketenteraan yang diterapkan dalam dirinya selain menyokong kuat segala usaha amal isterinya.
Ini terbukti apabila Almarhum sering dilihat dalam majlis-majlis kebajikan serta misi membantu mangsa banjir di Pantai Timur. – BERNAMA