PETALING JAYA – Tempoh berkempen 21 hari bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong akan digunakan sebaik mungkin untuk memperkenalkan kepada pengundi logo rasmi baharu Pakatan Harapan (PH).
“Ini adalah pertama kali logo baharu PH digunakan dalam PRK Seri Setia serta Balakong dan saya kira ia boleh diketengahkan dan diterima pengundi kedua-dua PRK ini,” kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas mengiringi calon PH Halimey Abu Bakar menyerahkan borang pencalonan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari ini.
Dr Wan Azizah yang juga presiden PH berkata demikian ketika ditanya fokus kempen PH di kedua-dua PRK itu memandangkan tempoh berkempen yang agak panjang kali ini.
PH yang diluluskan sebagai sebuah gabungan empat parti yang sah oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Mei lepas, terdiri daripada PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah menyeru pengundi di kedua-dua PRK supaya keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian pada 8 Sept nanti dan tidak mahu isu sambutan dingin oleh pengundi seperti yang berlaku di PRK DUN Sungai Kandis, 4 Ogos lepas, berulang.
“Kalau pilih calon kita menjadi ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) dan (memandangkan) kerajaan persekutuan di bawah PH, adalah kerjasama jitu untuk salurkan khidmat kepada pengundi di kedua-dua PRK,” katanya.
Selepas proses penamaan calon bagi kedua-dua PRK ditutup pada pukul 10 pagi tadi, PRK DUN Seri Setia dan Balakong masing-masing akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu. Calon PH Halimey Abu Bakar akan berdepan dengan calon PAS Dr Halimah Ali di Seri Setia sementara calon PH Wong Siew Ki dan calon MCA Tan Chee Teong bertanding di Balakong.
PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas, manakala PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas.
Kedua-dua PRK itu akan berjalan serentak. – BERNAMA

