KUALA LUMPUR – Selepas niatnya untuk menjadi pemain bola profesional tidak kesampaian, pelakon kacak Syafiq Kyle kini menubuhkan kelab bola miliknya sendiri.
Memilih nama Challo FC, kata Syafiq selain dirinya, kelab bola ini turut menyenaraikan beberapa artis lain sebagai pemain tetap kelab tersebut, antaranya Aedy Ashraf.
“Kelab ini masih baru dan sebagai pemilik, saya mengeluarkan hampir RM50,000 setahun dalam menyediakan segala kelengkapan untuk pemain.
“Sebenarnya saya tidak mensasarkan Challo FC untuk masuk liga yang lebih besar. Ketika ini kami hanya menyertai liga kecil selain menerima tawaran untuk perlawanan persahabatan,” katanya ketika ditemui pada majlis perlancaran filem Gol & Gincu Vol. 2 semalam.
Kongsi Syafiq lagi selain dirinya, Challo FC ini dalam masa yang sama juga turut menarik ramai penajaan luar lain.
“Rasanya bukan benda baharu untuk selebriti bermain bola sebab dalam masa yang sama, ia satu cara untuk kami bersukan.
“Melalui Challo FM, dalam masa yang sama kami juga turut ke depan untuk menarik perhatian penajaan,” katanya.
Kelihatan lebih cengkung, Syafiq turut memberitahu kesan latihan intensif sukan ini membuatkan dia kehilangan berat badan. Malah ketika ini beratnya turut mencapai 68 kilogram (kg) sahaja.
“Memang sebelum ini berat saya 82 dan kini hanya tinggal 68 kg, Kalau ikutkan saya perlu berlatih dua kali seminggu.
“Tetapi bagi saya tidak ada masalah sebab ini adalah perkara yang baik dalam memastikan kesihatan saya berada di tahap yang memuaskan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE