KUALA LUMPUR – Wakil tunggal Malaysia dalam acara basikal lasak, Noor Quraataina Mamat, 23, memohon maaf kepada rakyat Malaysia selepas tidak dapat meneruskan aksinya dalam acara BMX ‘supercross’ di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018, pada 24 Ogos lalu, kerana masalah kesihatan.
Quraataina terpaksa menarik diri selepas dinasihatkan doktor supaya tidak meneruskan aksinya di peringkat saringan acara BMX Supercross berikutan masalah gegaran otak dialaminya ketika latihan di tanah air beberapa minggu lalu.
“Saya kecewa kerana terpaksa menarik diri di saat akhir selepas membuat segala persiapan dan saya tidak dapat berlumba dengan 100 peratus kemampuan.
“Saya tahu ramai rakyat Malaysia amnya dari keluarga sukan BMX mengharapkan kejayaan saya. Malah, saya telah cuba menahan kesakitan itu untuk teruskan perlumbaan, tetapi doktor menasihatkan supaya tidak teruskan kerana bimbang berlaku masalah lebih buruk.
“Justeru, saya terpaksa akur dengan nasihat doktor. Apa yang saya boleh katakan ialah maafkan saya kerana tidak mampu membanggakan Malaysia di Sukan Asia kali ini. Insya Allah di masa akan datang saya akan kembali lebih kuat dan lebih matang di dalam perlumbaan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Quraataina pulang ke Malaysia semalam dan kini berehat di kampung halamannya di Dungun, Terengganu.
Dia terpaksa menunggu hingga tamat Sukan Asia 2018 bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut di Institut Sukan Negara (ISN).
“Saya berharap doktor tidak memberi cuti sakit terlalu lama kerana saya perlu menjalani latihan secepat mungkin untuk membuat persiapan awal bagi menghadapi Sukan SEA Manila, tahun depan,” katanya.
Bekas penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu pernah mencipta kejutan apabila menjadi wakil tunggal Malaysia memenangi pingat dalam acara berkenaan di Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.
Pada temasya berkenaan, Quraataina meraih gangsa dengan atlet Indonesia, Elga Kharisma Novanda memenangi emas dan perak menjadi milik atlet Thailand, Chutikan Kitwanitsathian. – BH Online