IMRAN Khan, bekas pemain kriket terkemuka Pakistan telah memenangi pilihan raya umum Pakistan bersama partinya, Tehreek-e-Insaf.
Parti ditubuhkan pada 1996 itu memenangi jumlah kerusi terbanyak mengatasi dua parti terbesar, tetapi perlu mengadakan pakatan dengan parti lain untuk memperolehi kerusi yang cukup untuk memerintah.
Parti dua dinasti besar, satu diketuai keluarga Bhutto dan satu lagi diketuai keluarga bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif.
Kemenangan Imran ini ialah satu perkembangan baru bagi Pakistan, kerana dua nama berpengaruh tidak lagi mampu menyekat beliau.
Tetapi, asas-asas politik di Pakistan masih sama, dan Tehreek-e-Insaf pun hakikatnya kini boleh dianggap diketuai oleh “dinasti Imran Khan” yang juga berpengaruh.
Tempoh 20 tahun sudah cukup untuk Imran mengukuhkan kuasa dan pengaruhnya di Pakistan, dan apa yang berlaku selama tempoh menjelang pilihan raya menunjukkan beliau merupakan satu kuasa baharu Pakistan.
Imran sudah memiliki sokongan pihak tentera, yang merupakan kuasa paling kuat dalam politik dalaman, dan juga penentu dalam politik antarabangsa Pakistan.
Menjelang pilihan raya, Imran dan partinya menerima liputan utama media tempatan, manakala parti lain terutama Liga Muslim, parti Nawaz Sharif dikatakan disekat daripada mendapat liputan.
Bekas perdana menteri ini juga dijatuhi hukuman penjara atas dakwaan korupsi tidak lama sebelum pilihan raya, menyampaikan mesej jelas bahawa partinya perlu ditolak.
Pihak tentera didakwa mempengaruhi usaha untuk memberi kelebihan pada Imran ini, kerana beliau ialah calon pilihan tentera.
Pada masa yang sama, Imran berkempen dengan tema membanteras korupsi, sambil mengumumkan beberapa langkah populis seperti menjadikan kediaman-kediaman rasmi pemimpin negara sebagai pusat aktiviti sosial.
Ini semua melonjakkan populariti Imran, kerana pada masa yang sama Pakistan dikejutkan dengan berita bekas perdana menteri dihukum atas kesalahan korupsi.
Korupsi menjadi tema yang popular, ditambah dengan ekonomi Pakistan yang lemah, dan projek-projek mega infrastuktur China yang didakwa akan memerangkap Pakistan dengan beban hutang.
Isu nasional yang membelenggu Pakistan itu menjadikan janji membanteras korupsi sesuatu yang menarik bagi rakyat, yang berharap kerajaan dipilih nanti akan membantu meningkatkan ekonomi Pakistan.
Maka atas sebab ini, Imran yang masih mempunyai nama sebagai bekas kapten pasukan kriket Pakistan didakwa menggunakan pendekatan populis untuk menarik undi.
Parti beliau didakwa hanya menggunakan nama keadilan (nama partinya bermaksud gerakan keadilan), tetapi sebenarnya bersifat diktator dan tidak toleran.
Hubungan baik dengan tentera juga dikecam oleh banyak pihak, kerana ini bermakna Imran tidak akan dapat melaksanakan reformasi yang dijanjikan.
Lebih memburukkan keadaan, Imran mengambil tindakan menerima pemimpin-pemimpin politik berpengaruh yang boleh membawa undi untuk partinya.
Golongan ini menyertai kem Imran tidak lama sebelum pilihan raya, dan sebahagian daripada mereka dikatakan didesak oleh pihak tentera.
Mereka ini ialah sebahagian sistem yang Imran dalam kempen pilihan rayanya berjanji untuk direformasi, dan tindakan mereka menyertai beliau sejurus sebelum pilihan raya dikecam kerana bertangan dengan apa yang dijanjikan pemimpin Tehreek e Insaf itu.
Tetapi mereka inilah yang membawa undi yang akhirnya memenangkan Tehreek e Insaf dan menjadikan Imran Khan bakal perdana menteri Pakistan.
Masalah ekonomi Pakistan akan menjadi isu paling penting perlu ditangani oleh Imran apabila menjadi perdana menteri nanti.
Sejurus menang, beliau sudah menghadapi satu masalah besar apabila parti-parti lain mendakwa berlaku penipuan dalam proses pengundian di banyak tempat.
Ini kerana Pakistan masih dikuasai tentera dan pihak tentera berkuasa dalam hubungan luar negara itu, manakala satu lagi entiti, perisikan Pakistan dikenali ISI berkuasa dalam hal hubungan melibatkan Taliban dan Afghanistan, negara jiran yang rapat dan terikat dengan Pakistan.
Pakistan akan memerlukan bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk membantunya memulihkan ekonomi, dan ini bakal menjadi ujian bagi Imran sebagai perdana menteri baharu.
Hakikatnya, Imran dan Tehreek-e-Insaf sudah mengubah parti dan tokoh yang memerintah Pakistan, tetapi pihak tentera masih menjadi kuasa terkuat dan penentu penting politik dalaman.
Imran akan perlu menjaga hubungannya dengan tentera sebaik mungkin dan pada masa yang sama berusaha memulihkan ekonomi Pakistan untuk memastikan popularitinya tidak terjejas.
Pakistan baharu di bawah Imran memilih kepimpinan baharu dengan harapan untuk menolak sistem yang korup, tetapi selain perubahan di permukaan, tidak banyak perubahan yang benar-benar berlaku setakat ini.
Imran bakal berdepan cabaran yang getir untuk menunaikan janjinya, dan menggalas tugas memulihkan ekonomi Pakistan yang diharapkan oleh rakyat. – Mynewshub.tv

