KUALA LUMPUR – Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencipta kejutan dalam aksi sulungnya di saingan Piala Cabaran 2018, apabila menewaskan Pulau Pinang 2-0 di Stadium Negeri, Batu Kawan, malam ini.
Selain gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan turut gagal memanfaatkan kelebihan beraksi dengan tiga pemain import, menentang pasukan jemputan dari Piala FAM itu, yang tiada pemain import.
Skuad ‘The Gladiators’ membuka jaringan menerusi Mohd Zaironi Yusof pada minit ke-27, sebelum Shaharudin Shafie menggandakan jaringan pada minit ke-81 pada aksi Kumpulan B itu.
Sementara itu, pasukan Johor Darul Ta’zim II(JDT II) dua kali bangkit dari ketinggalan untuk mencipta kemenangan tipis 3-2 ke atas UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam dalam satu lagi aksi Kumpulan B.
Pasukan tuan rumah membuka jaringan menerusi Muhamad Afif Asyraf Mohamad Zabawi pada minit ke-41, sebelum D. Saarvindran menyamakan kedudukan pada minit ke-68.
Mohammad Amer Azahar kembali meletakkan UiTM FC di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-75, tetapi kali ini Mohd Amirul Hadi Zainal menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.
Skuad Harimau Selatan itu, bagaimanapun berjaya meraih tiga mata penuh menerusi jaringan S. Kumaahran pada minit ke-90. – BERNAMA