KANGAR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memilih Perlis untuk melaksanakan kajian projek perintis Op Sifar Cicir untuk mengenalpasti punca keciciran pelajar di negara ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis Izmi Ismail berkata Perlis dipilih kerana tidak banyak sekolah dan mudah untuk mengenalpasti sebab berlaku keciciran.
“Kita mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan serta masyarakat bagi melaksana projek itu,” katanya kepada pemberita selepas taklimat penubuhan Jawatankuasa Peningkatan Enrolment Murid (JPEM) oleh Ketua Unit, Unit Analisis dan Indikator KPM, Datin Hariati Mohamed di sini, hari ini.
Izmi berkata aspek yang turut disentuh dalam kajian itu seperti taraf sosio ekonomi, latar belakang keluarga pelajar dan pengaruh persekitaran.
Katanya Perlis yang merekodkan kehadiran pelajar sebanyak 89 peratus pada tahun lepas menyasarkan peningkatan sehingga 95 peratus menjelang tahun hadapan hasil projek itu. – BERNAMA

