MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof dilaporkan berkata hari ini yang beliau mengarahkan potret ikon-ikon LGBT di George Town Festival di Pulau Pinang diturunkan.
Tiba-tiba ramai pula yang memuji beliau, dikatakan tegas dalam bertindak terhadap LGBT sebagai seorang menteri yang menjaga agama.
Tetapi dalam masa yang sama, Mujahid masih berkonfrontasi dengan Institut Kajian Strategik Islam (IKSIM) yang pernah didakwa oleh pihak Pakatan Harapan sebagai pelampau.
Mujahid mendakwa IKSIM menyelewengkan dana yang diterima, dan sedang berusaha untuk menutup operasi suara umat Islam ini.
Dana untuk operasi IKSIM telah lama disekat, dan kakitangannya sudah berbulan tidak mendapat gaji kerana sekatan ini.
Pada masa Mujahid mendamaikan krisis melibatkan Ramasamy yang dikaitkan dengan teroris LTTE di Sri Lanka sekaligus “menyelamatkan” pemimpin negeri Pulau Pinang itu, IKSIM semakin pasti akan ditutup.
Sejarah pertembungan puak liberal dan bukan Islam dengan IKSIM sudah jelas untuk menceritakan kenapa mereka mahu institusi ini ditutup.
Salah seorang aktivis yang aktif bersama IKSIM ialah Allahyarham Haji Abdul Karim Omar yang banyak mendedahkan rahsia golongan Kristian Evangelical yang melaksanakan kristianisasi di Malaysia.
Banyak perancangan mereka didedahkan oleh Allahyarham Abdul Karim melalui tulisan dan dalam program IKSIM.
IKSIM bermatlamat mempertahankan kedudukan Islam di Malaysia seperti yang ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan.
Melalui programnya IKSIM mendedahkan kumpulan-kumpulan liberal dan perancangan mereka hingga IKSIM dianggap ancaman terbesar bagi mereka.
Lihat sahajalah di internet, kenyataan demi kenyataan dikeluarkan oleh ahli politik liberal dan bukan Islam menyerang IKSIM dan mengaitkannya dengan ekstremisme.
Ramai pula Melayu Islam yang apologetik terpengaruh dengan fitnah ini dan turut sama menyebarkan fitnah musuh Islam.
Apa yang dilakukan oleh Mujahid dan kementeriannya sekarang selari dengan agenda yang diperjuangkan oleh musuh-musuh Islam dalam Pakatan Harapan.
Maka jelas tindakan Mujahid mengarahkan poster LGBT diturunkan di Pulau Pinang hanya tindakan mengambil hati orang Islam. – Mynewshub.tv

